Mar 04, 2023 - FASSelangor FC akan menerima kunjungan Sri Pahang FC untuk perlawanan ketiga saingan Liga Super 2023 esok (5 Mac) jam 5.30 petang di Stadium MBPJ.
Ini merupakan pertemuan ke-121 di antara #SELSRP. Gergasi Merah telah memenangi 65 perlawanan dan 30 seri. Selain itu, 124 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan dua pasukan ini.
Menurut pemain import sayap Gergasi Merah, Hein Htet Aung, Sri Pahang antara pasukan yang mempunyai pemain tengah yang baik namun beliau yakin rakan sepasukan akan bekerja keras untuk meneruskan momentum keputusan baik.
"Sri Pahang baru sahaja menang besar untuk perlawanan terakhir mereka, ia pasti bukan perlawanan yang mudah. Tambahan pula, mereka mempunyai set pemain yang bagus terutama pemain tengah mereka seperti Azam Azih dan pemain import semasa yang menjaringkan gol dalam perlawanan baru-baru ini, Kevin Ingreso Kedua-duanya sangat mahir.
Saya gembira dengan kedudukan kami sekarang tetapi saya tidak akan rasa lengkap dan saya percaya rakan sepasukan saya mahukan lebih. Kami sudah bersedia untuk esok dan kami bersedia untuk bekerja keras dan mengekalkan momentum baik kami untuk kelab dan peminat," semangat Hein.
Untuk pengetahuan, pemain pembangunan Selangor FC, Sharul Nazeem akan membuat penampilan ke-50 mereka bersama pasukan jika keduanya beraksi dalam perlawanan #SELSRP esok.
Selain itu, dua pemain yang mengalami kecederaan perlawanan sebelum ini, Yohandry Orozco dan Quentin Cheng sudah pulih sepenuhnya. Mereka berkemungkinan besar akan bersama pasukan dalam perlawanan #SRPSEL.
Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan untuk perlawanan esok menentang Sri Pahang FC. Semoga berjaya, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!